Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, 1 Februari 2013

Perjalanan

Tujuan utama blog ini dibina untuk berkongsi pengalaman dengan khalayak pembaca proses penulisan kreatif yang baharu menyelimuti saya sekarang ini. Dengan catatan ini dapat membantu sesiapa sahaja yang berminat menceburi dunia penulisan kreatif boleh membaca dan bertukar-tukar pandangan serta buah fikiran. Secara langsung dapat membantu menyemarakkan lagi dunia penulisan tanah air sekarang dan masa akan datang. 

Sudah lama saya ingin menceburi bidang penulisan tetapi tidak tahu bagaimana?

Setiap kali melihat dada-dada akhbar saya dapat merasai keseronokan yang dimiliki oleh setiap penulis apabila karya mereka tersiar dan dibaca oleh khalayak. Lebih-lebih lagi sekiranya karya mereka dibukukan atau pun telah menjadi antologi. Saya cuba berjinak-jinak untuk menulis namun idea tidak datang, buntu atau berkecamuk dan entah apa-apa yang menganggu sehingga saya gagal menghasilkan karya. 

Sering menghadiri majlis ilmu

Tabiat saya sangat minat menghadiri majlis ilmu, banyak majlis-majlis ilmu berkaitan dengan dunia penulisan kreatif saya hadiri. Peringkat permulaan saya hadiri saya masih tidak faham bagaimana untuk menghasilkan karya. Saya mula rancak menghadiri majlis ilmu pada tahun 2011. Apabila ada sahaja majlis saya pasti akan hadiri dan rugi yang amat sangat sekiranya saya gagal menghadirinya. Saya dengar dan catat apa-apa yang disampaikan dalam majlis ilmu yang saya hadiri. Saya bangga dan kekadang cemburu melihat penceramah yang terdiri daripada pengkarya yang sudah mantap dengan karya masing-masing.

Namun pada masa itu saya hanya berminat menghadiri majlis ilmu sahaja dan berasakan agar sukar untuk menjadi penulis dalam bidan penulisan kreatif. Perasaan ini timbul kerana saya sering dihidangkan dengan kesukaran yang dialami oleh penulis-penulis yang menyelusuri dunia penulisan mereka. Walaupun begitu hasrat untuk menjadi penulis tidak terus terpadam dalam diri saya. Hasrat itu masih lagi menyala namun dalam cahaya yang semakin malap.

Tulis apa-apa yang terlintas dalam hati

Saya menulis apa-apa sahaja yang terlintas di dalam hati saya. Sebab itu saya sering membawa pen dan buku catatan ke mana-mana sahaja. Saya akan pantas menulis lintasan yang hadir. Lintasan itu, saya anggap idea pokok untuk saya kembangkan menjadi puisi. Idea tidak boleh dipaksa dan hadir secara tiba-tiba sebab itu kita perlu sentiasa bersedia pada setiap masa dan ketika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan